Selasa, 22 September 2009

Aidilfitri 1430H

Salam Aidilfitri...

“Aidil Fitri” berasal daripada perkataan Arab bermaksud Hari Raya Fitrah (suci) kerana pengampunan dosa-dosa di bulan Ramadhan. Aidil Fitri disambut setiap tahun kerana selesai puasa Ramadhan. Apa kiranya Bulan Ramadhan yang menjanjikan keberkatan, keampunan dari Allah tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam?

Berbaloikah sesiapa yang tidak diampunkan dosa-dosanya menyambut Hari Raya Suci ini yang sesuci bagaikan bayi yang baru dilahirkan? Namun kita pasti tetap merayakannya bahkan Umat Islam diwajibkan solat sunat hari raya untuk mengagungkan Allah s.w.t Rabbul Jalil. “Allahu Akbar”…

Hari Raya Aidil Fitri yang juga terkenal dengan “Hari Raya Puasa” disyariatkan oleh Allah s.w.t. untuk Umat Islam merayakannya. Ianya disambut menandakan kesyukuran Umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan fardhu puasa sepanjang bulan Ramadhan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan menahan hawa nafsu dari perkara-perkara yang ditegah di dalam bulan puasa.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua, kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah”.